Sabtu lepas, teruja dengan catatan ringkas Merbah Kunyit tu, koi dengan anak sulung serta anak kedua koi bertolak ke kawasan anak sungai sebelah kebun getah yang melekat dengan taman perumahan koi. Pisau panjang dari dapur, benang duku saiz wak-wak, anak ikan kembung dan otak koi menjadi bekalan kami untuk membuat operasi menjerat wak-wak pada hari itu.
Wira Hitam tahun 2005 koi berhenti di bahu jalan betul-betul sebelum jambatan yang merentasi anak sungai tersebut. Koi dan anak-anak terjun tiruk ke tanah bersemak sebelah anak sungai untuk menjayakan operasi. Setelah 15 minit ke hulu ke hilir mencari batang kayu yang sesuai untuk dibuat batang jerat bidas (jerat sembat mengikut varian kampung Dzul Menerung), namun tiada ketemu.
"Abang, kakak, jom pegi tempat lain, takde kayu aa sini..", laung koi membuat ajakan.
Abang dan kakak bergegas meragas semak naik semula ke bahu jalan.
Wira Hitam koi pandu ke arah longkang besar dan dalam, di mana koi dapat lihat banyak batang pokok sebesar dua ibu jari yang sesuai untuk dibuat penyembat wak-wak.
"Mau melambung 14 meter ke udara ni..kuikui", gelak hati koi..
Kami menurunkan semula kelengkapan ringkas kami. Kawasan itu memang sering koi lihat wak-wak sering melintas jalan menuju paya di seberang sana.
"Peluang baeek ni..", hati koi berangan lagi..
Tiba-tiba koi membalingkan pisau panjang gaya the Ninja, siri alihsuara Jepun tahun 80-an yang koi amat minati ke arah pokok acasia yang terletak di tepi longkang besar. Berapa banyak pokok pisang mok koi tumbang gara-gara siri tersebut. Itu belum diambilkira pokok-pokok jambu batu mak long koi di Perak Utara yang koi amuk sebaik sahaja mendarat..kuikui
Dan tidak dapat koi lupa Munusamy menggelepar dengan kapcainya gara-gara lembing koi menyipi ke pokok pisang dan laju menusuk ke celah-celah rim lidi kapcai beliau. Koi pun apa kurangnya, menggelepor koi lari berkubu ke dalam bilik tidur koi kuikui....
"Hebaaaattt...", laung abang dan kakak serentak..
Koi bertambah bangga.. pisau panjang koi cabut.
"Itu baru satu cara, abi masa kecik dulu berlatih hari-hari baling pisau macam ninja.. tengok ni..dari bawah..", terang koi dengan penuh semangat kepahlawanan..
"Sasukaaaaa!!...", laung koi separa kuat..
"Cepelum!", jawab longkang besar kepada koi..
Petang itu para pemandu di Bandar Tasik Kesuma fasa belakang memandu berlalu dengan muka syak wasangka melihat koi dan anak-anak mengail pisau panjang yang tak kunjung naik.... sambil anak koi yang sulung bertanya..
"Abi..sekarang abi kekurangan latihan ye?"..