Isnin, Disember 08, 2014

Rangkuman 1: Perjalanan bercuti ke Langkawi termasukTemuduga Peringkat Pertama di Maahad Tahfiz Negeri Pahang untuk Uzair Ziad 06-11/12/2014

Assalamualaikum kaum keluarga dan rodonc-rodonc..

Berikut ialah perancangan asal kome sempena cuti sekoloh kali ni, nok ke Langkawi sebab tak pernah pergi. Umur dekat 40 dah koi ni, tapi Alhamdulillah, Allah bagi kesempatan jugek pegi, InsyaAllah...



Perancangan:

Tempoh bercuti: 05-10/12/2014

1. 5-6/12/2014-Pulang ke Mahang dan Kulim, Kedah beramah mesra dengan sanak saudara.

2. 7-9/12/2014-Bercuti di Langkawi. Dah bayor bilik di Pantai Cenang.
3. 10-11/12/2014-Menziarahi rakan-rakan dan kaum keluarga sekitar Perlis, Changloon dan Kuala Kedah

Namun begitu, kita sebagai mahkluk yang hanya berdaya merancang, Allah juga yang menentukan.


Tempoh bercuti baru: 06-11/12/2014, ditunda sehari ekoran proses bulanan untuk pelanggan syarikat koi di Ameriko berlarutan sehingga 5/12/2014.


1. 6/12/2014- Pukul 12 tengahari. Bergerak pulang ke Kota Gelanggi 2, Jerantut melalui Bera.

Singgah di rumah paksu dan maksu di Felda Bukit Kepayang, Triang, Pahang pada pukul 4.30pm hingga 9.15pm.





Kemudian bertolak pulang ke rumah mok koi di Gelangi.


Sampai di rumah mak koi lebih kurang 11.15pm.

Bermalam di sana.

2. 7/12/2014-Turun seawal 4 pagi untuk menghantar dan menemani Uzair Ziad ke Temuduga Peringkat Pertama di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Solat Subuh di RNR Gambang, terserempak dengan rodonc zaman sekoloh dulu Nazhar Hassan. Di SUPERB hari tu terserempok jugek, Alhamdulillah.

Sampei di MTNP lebih kurang 7.20am.


Meriah, ramai ibu bapa dan keluarga menghantar anak-anak ke temuduga peringkat pertama ini. Temuduga ini dibuat 2 hari, iaitu 4/12/2014 dan 7/12/2014.

Setiap sesi tersebut akan menemuduga 350 pelajar.
Maknanya ada 700 pelajar yang terpilih untuk sesi temuduga MTNP tahun ini.
Daripada 700 pelajar ini, hanya 100 akan terpilih untuk ke peringkat kedua secara intensif 4 hari 3 malam pada 16-19/12/2014 nanti.

Alhamdulillah anak-anak sudah ada pengalaman sedikit selepas temuduga di Bentong 02/12/2014 baru ni.


Uzair diletakkan di Bilik 1 daripada 16 bilik yang ada dan menjadi calon pertama dikuarantin tuntuk hafazan dan temuduga.



Sejuk hati melihat ibu bapa yang berkobar-kobar inginkan yang terbaik dunia akhirat untuk program Tahfiz Profesional ini



Ibu bapa dan kaum keluarga memenuhi segenap ruang dalam kawasan Maahad tahfiz tersebut.




Cantik jugak lanskap sekoloh ni kuikui

Ada 2 sesi, pelajar lelaki membuat sesi kuarantin hafazan dan temuduga dahulu.
Pelajar perempuan menduduki ujian bertulis Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Tidak jauh berbeza dengan SUPERB kerana ini program yang sama iaitu Tahfiz + Sains Tulen, cuma nama berbeza iaitu Tahfiz Profesional berbanding Ulul Albab di SUPERB dan MRSM.

Selepas rehat pada pukul 10.30am-11.00am, pelajar perempuan membuat hafazan dan temuduga manakala pelajar lelaki pula menduduki ujian bertulis.

Akhirnya, lebih kurang pukul 1 tengahari, sesi temuduga tamat.

Setelah menamatkan sesi perbualan dengan para ibu bapa yang dikenali termasuk Cikgu Wira Gelangi, kami pun bertolak ke Temerloh untuk makan ikan patin.

Sempat kami singgah untuk bergambor di benteng Kuantan.


Watermark KUANTAN terlindung oleh perahu besor dalam Sungai Kuantan tersebut


Bersambung dalam Rangkuman 2 nanti, insya Allah...

Terima kasssseyyyyyyy....!!!

Rabu, Disember 03, 2014

Sekitar temuduga anak-anak di Sekolah Agama Persekutuan Bentong (SUPERB) 02/12/2014

Assalamualaikum kaum keluarga dan rodonc-rodonc..

Selasa lepas, 9 Safar 1436 Hijrah bersamaan 02/12/2014 saya keluar dari rumah bersama seluruh ahli keluarga seramai 8 orang pada pukul 4.20 pagi untuk menghantar anak sulung kami Uzair Ziad bin Mahadhir ke temuduga kemasukan Program Ulul Albab di  Sek Agama Persekutuan Bentong (SUPERB) untuk sesi 2015.

Tulisan ini bolehlah dijadikan panduan untuk ibubapa yang akan menghantar anak-anak ke temuduga program Ulul Albab di mana-mana institusi pendidikan menengah.

Kami mengambil Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan seterusnya susur keluar Kg. Sertik/Mempaga.
Pada lebih kurang pukul 6.10 pagi, kami sampai di hadapan pintu pagar sekolah tersebut. Kami bergegas masuk ke Felda Mempaga 1 yang terletak berhadapan dengan sekolah untuk mencari masjid untuk solat subuh.
Setelah berputar-putar lebih kurang 15 minit, kami terserempak dengan pasukan RELA yang mengawal pintu masuk utama ke Mempaga 1. Mereka memberi arah ke Masjid Mempaga 1 yang terletak nun di atas bukit.

Selesai solat Subuh, kami bersegera ke SUPERB dan ketika itu masih tidak ramai calon yang sampai.
Pendaftaran bermula pada pukul 7.30 pagi.



Makpak sahaja yang stress, beliau tersengih-sengih seperti biasa kuikui



Uzair sudah masuk ke dewan ketika ini

Uzair Ziad kemudiannya masuk ke dewan dan memulakan ujian bertulis bermula pukul 8 pagi sehingga 9 pagi.
Soalan-soalan yang dijawab ialah Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Jawi dalam masa 1 jam tersebut.


Kami ke belakang dewan dan bersarapan.
Isteri saya Puan Faridah Hamzah tidur sangat lewat sekitar 2 pagi untuk menyiapkan nasi sambal ayam goreng dan kuey tiaw goreng.


Uzair sempat bersarapan selepas solat Subuh tadi, Alhamdulillah..

Selesai ujian bertulis, anak-anak yang bersemangat tinggi semuanya ini menuju ke blok kelas untuk menjalani ujian hafazan dan temuduga dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris. Set 2 iaitu calon-calon yang tergolong dalam kumpulan 7 hingga 12 terus mengenakan pakaian sukan dan melakukan ujian fizikal, iaitu ujian larian 100m.
Uzair tergolong dalam Set 1, iaitu ujian hafazan dahulu. Anak-anak diberi masa 30 minit untuk menghafaz sebanyak mungkin ayat dari satu muka surat Al-Qur'an.






Penguji iaitu para ustaz SUPERB sendiri kemudiannya menyuruh membaca apa yang sudah dihafaz beserta teguran. Ini diikuti dengan soalan dalam bahasa Arab yang sangat mudah dan kemudiannya dalam bahasa Inggeris. Temuduga kemudiannya diteruskan dalam bahasa Melayu yang bertujuan menilai kesungguhan murid, antaranya adakah murid yang dengan rela hati mahu menghafaz al-Qur'an atau dipaksa ibubapa sahaja.

Lebih kurang pukul 11 pagi, Uzair keluar dari bilik ujian dan bergegas menukar pakaian sukan.

Selesai menimbang berat badan dan mengambil bacaan ketinggian, anak-anak dikumpulkan dalam set 5 orang untuk melakukan ujian masa 100m.

Berbincang sambil menyaksikan para bakal hafizah memecut pantas

Para peserta mendengar penerangan pegawai pertandingan dengan penuh khusyuk

Selesai ujian, lebih kurang dalam pukul 12pm, kami pun bertolak pulang ke Selangor..

Moga menjadi panduan untuk ibubapa pada tahun-tahun akan datang.

Terima kasih...







Rabu, Oktober 22, 2014

Belasungkawa: Bapa saudara hamba Abdul Razak bin Mat Da'ie meninggal dunia 21 Oktober 2014 bersamaan 26 Zulhijjah 1435 Hijriyyah

Assalamualaikum seluruh kaum keluarga dan sahabat handai,

                                                                 Al-Fatihah.





Dengan penuh rasa dukacita, hamba mengumumkan pemergian bapa saudara yang sangat kita kasihi, Abdul Razak bin Mat Da'ie yang meninggal dunia pada 26 Zulhijjah 1435 Hijriyyah bersamaan 21 Oktober 2014.
Almarhum meninggal dunia lebih kurang pukul 1 tengahari setelah lama menderita penyakit barah usus semenjak dikesan pada tahun lepas.

Pengkebumian Almarhum disempurnakan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Ulu Kerian, Selama, Perak DR dengan dihadiri sanak-saudara dan orang-orang kampung sebelah Kedah dan sebelah Perak. Hamba yang sangat terkilan tidak dapat pulang turut serta mengebumikan pakcik yang tercinta walaupun telah mengambil cuti kecemasan dan berkemas mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga kecil dan besar Almarhum. 
Kita mampu merancang, hanya Allah yang menentukan. Adinda hamba mengalami demam yang agak teruk dan hamba yang masih lesu dalam tempoh 2 minggu menerima orang baru ini tidak mampu memandu sendirian 2 hari berturut-turut pulang ke Mahang.

Moga Allah merahmati roh Almarhum dan menempatkan beliau bersama orang-orang soleh.
Ameen..

Sabtu, Oktober 18, 2014

Sedikit pelarasan salasilah berdasarkan sumber Ku Rokman, Ku Hakim dan Ku Jalil Tengku Abdul Hamid

Assalamualaikum kaum keluarga dan sahabat handai

Dua tiga hari ini hamba berutusan dengan pak pupu hamba Ku Hezri dan Ku Hezli Ku Hakim berkenaan salasilah yang mereka perhalusi dengan bapa mereka Tokngah Ku Hakim dan Toklong Ku Rokman bin Tengku Abdul Hamid.

Sebelum Ku Abdul Jalil meninggal, Ku Helmi dan Ku Hezli juga sempat ke Sedim dan melihat catatan lama Tengku Abdul Hamid yang disimpan Ku Abdul Jalil.

Di sini hamba perturunkan untuk tatapan dan pemeriksaan oleh kaum keluarga semua.

http://tengkuabdullah.blogspot.com/2014/10/sedikit-pelarasan-salasilah-berdasarkan.html

Terima kasih hamba dahulukan.

Ma'assalamah.

Jumaat, Oktober 10, 2014

Seorang lagi khalifah Allah menjengah bumi.. Ahmad Nusair Adha bin Mahadhir Al-Semantani

Assalamualaikum kaum keluarga, para sahabat dan seluruh kaum muslimeen serta seluruh ummah sejagat sekelian..

Alhamdulillah..
Segala puji bagi Allah yang Maha Esa, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Menentukan..

Hari Raya Aidil Adha (Eidul Adha) yang lepas, 5 Oktober 2014, lahirlah khalifah Allah yang hamba beri nama Ahmad Nusair Adha bin Mahadhir, seberat 3.55 kg dan setinggi 53 cm melalui sectio caesarea di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Semantan (nama lama bagi Temerloh) pada pukul 7.48 malam.





Walaupun kami berusaha mengelakkan prosedur tersebut yang kali terakhir isteri saya lalui pada tahun 2002 sewaktu melahirkan anak sulung di Hospital Mentakab; dan anak-anak berempat kemudiannya semua lahir secara normal di Hospital Kajang, Kangar, kemudian dua kali Kajang; kami redha dengan ketentuan Allah.
Yang paling penting kedua-dua ibu dan anak sihat selepas prosedur tersebut.

Sungguhpun Ahmad Nusair Adha lahir melepasi Hari Raya Pertama kerana sudah maghrib, namun kami tetap mengambil sempena hari yang sangat besar tersebut, lagipun hari raya haji/korban ini Allah tetapkan 4 hari, Alhamdulillah..

Nama Ahmad mengambil pesan tok mek beliau sebelum meninggal tahun lepas yang ingin kami menamakan anak lelaki jika ada lagi dengan nama Muhammad atau Ahmad.

Nusair pula mengambil sempena Musa bin Nusair yang menjadi ketua kepada Tariq bin Ziad ketika membuka Al-Andalus (Hispania, España).
Anak kami yang sulung yang juga anak Pahang kami sudah diberi nama Uzair Ziad, kebetulan lahir dalam daerah Semantan juga dan melalui ceasarea juga.

Adha seperti yang disebut di atas, mengambil sempena hari besar umat Islam ini.

Ibu dan anak telah dibawa pulang ke Kota Gelanggi 2 pada petang Rabu 13 Zulhijjah 1435 Hijrah.




Moga Allah merahmati, menjadikan soleh, memberkati, meredhai Ahmad Nusair serta seluruh ahli keluarga kami dan umat Islam keseluruhannya..Ameen..




Isnin, September 15, 2014

Belasungkawa: Ku Abdul Jalil bin Ku Abdul Hamid meninggal dunia 13 September 2014 bersamaan 19 Zulkaedah 1435 Hijriyyah

Assalamualaikum seluruh kaum keluarga dan sahabat handai,

                                                                 Al-Fatihah.





Dengan penuh rasa dukacita, hamba mengumumkan pemergian sepupu tokwan kita yang dikasihi, Ku Abdul Jalil bin Ku Abdul Hamid pada hari Sabtu 19 Zulkaedah 1435 Hijriyyah bersamaan 13 September 2014.


Menurut Ku Yusof kekanda Almarhum Ku Abdul Jalil, Almarhum meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim setelah rebah di rumahnya di Sedim, Kulim, Kedah Darul Aman sepulangnya dari Sungai Bikan. Almarhum diberitakan mengadu sakit dalam perut dan pernah mengalami kanser usus sekitar tahun 1996, namun tidak dapat dipastikan jika sakit kali ini ada kaitan dengan kanser yang dahulu.
Almarhum dikhabarkan sihat selepas menerima rawatan pada tahun tersebut dan bekerja seperti biasa sehingga peristiwa semalam.


Pengkebumian Almarhum disempurnakan lebih kurang pukul 11 pagi di Sedim oleh saudara-mara jauh dan dekat serta penduduk Kampung Sedim yang budiman. Turut hadir ialah Makchaq Salmah serta bondanya Ku Azmi binti Ku Abdul Hamid dan keluarga kita di Kg. Peregam, Kuala Kedah iaitu Ku Ahmad Shukri bin Ku Abdullah serta keluarga.




Almarhum berbaju hitam ketika berbual-bual selepas majlis perkahwinan sepupu kami Siti Aisyah , dan Muhammad Hazwan di Kg. Lobak, Mahang, Kedah DA pada 10 Februari 2013 M, 29 Rabi'ul Awal 1434 Hijrah


Yang di tengah-tengah ialah adik bongsu Almarhum iaitu Ku Jalaluddin, juga menetap di Sedim. 

Semoga Allah merahmati, memberkati dan meredhai Almarhum dan menempatkannya bersama roh para soliheen, ameen..


Selasa, Mei 27, 2014

Video kawasan perkuburan Tengku Abdullah Lebar ibn Tengku Muhammad Saad, Kg. Bakau Tua, Kuala Muda, Seberang Perai.

Assalamualaikum kaum keluarga dan handai-taulan, 

Di sini hamba ingin berkongsi sedikit visual yang saya rakamkan secara agak tergesa-gesa pada 13/05/2014 dalam perjalanan pulang dari Changloon-Kuala Kedah. 

Pukul 3.15 petang dari Kuala Kedah, sampai di sini lebih kurang 5 petang.
Hampir 5.40 petang kami sudah beredar dari Kg. Bakau Tua yang bersejarah ini, tidak sempat berjumpa Tok Robe'ah waris kami, Abang Saleh Pengerusi Masjid mahupun Tuan Imam Hj Ahmad.
Mohon maaf daripada kami semua.

Terima kasih. 



Bandingkan dengan video yang lama pada awal tahun 2013 ketika kawasan kubur belum dipagar.

Isnin, Mei 19, 2014

Alhamdulillah..akhirnya Makam Tengku Abdullah Lebar siap dipagar

Assalamualaikum kaum keluarga,
Sepulangnya hamba dari Jejak Waris V 11-13hb05 2014 Beranang-Mahang-Changloon-Chuping-Kuala Kedah, singgahlah hamba dan keluarga di Kg Bakau Tua, Kuala Muda. 
Alhamdulillah, seperti yang diberitahu oleh encik muzammil dari Bahagian Wakaf MAINPP, pembinaan pagar kawasan perkuburan telah disempurnakan oleh kontraktor lantikan MAINPP. 
Minggu sebelumnya saya mula-mula menghubungi Encik Saleh, Pengerusi Masjid Bakau Tua dan beliau memaklumkan kepada saya akan pembinaan yang telah selesai itu. Namun, menurut beliau, beliau bertanya kepada saudara bangla yang membancuh simen di tapak tersebut, kontraktor terlibat ialah seorang ahli keluarga besar kita juga di Sg. Lokan, Butterworth. Yang beliau maksudkan mungkin Tokchaq Ismail Tokey Kopi Hang Tuah yang saya temui Jun tahun lepas.
Namun, apabila saya menghubungi en. Muzammil minggu lepas, beliau dengan penuh iltizam menyatakan yang kontraktor itu memang lantikan MAINPP.

Setelah sampai sendiri (dan tayar kereta terjun ke tepi paya kuikui) yakinlah saya yang memang itu projek MAINPP.
Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada dari MAINPP ataupun sesiapa sahaja yang telah membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi ini.
Maassalamah.

 Alhamdulillah..InsyaAllah tiada lagi insiden pencerobohan binatang ke dalam kawasan perkuburan ini..ameen..

Sempadan dengan kawasan paya dan kampung

 Pandangan dari arah jalan mini tar yang menyusuri tepi masjid

 Nasib baik kereta tak terjerumus ke dalam paya



Kawasan bertanda itulah Lot 1710 Mukim Penaga Daerah SPU yang telah dipagar tersebut, seluas 0.312 ekar

Moga Allah sentiasa merahmati, memberkati dan meredhai Tokku dan seluruh keturunan, serta seluruh mukmineen mukminaat muslimeen muslimaat yang masih hidup atau yang telah pergi..Ameen..