Isnin, September 15, 2014

Belasungkawa: Ku Abdul Jalil bin Ku Abdul Hamid meninggal dunia 13 September 2014 bersamaan 19 Zulkaedah 1435 Hijriyyah

Assalamualaikum seluruh kaum keluarga dan sahabat handai,

                                                                 Al-Fatihah.





Dengan penuh rasa dukacita, hamba mengumumkan pemergian sepupu tokwan kita yang dikasihi, Ku Abdul Jalil bin Ku Abdul Hamid pada hari Sabtu 19 Zulkaedah 1435 Hijriyyah bersamaan 13 September 2014.


Menurut Ku Yusof kekanda Almarhum Ku Abdul Jalil, Almarhum meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim setelah rebah di rumahnya di Sedim, Kulim, Kedah Darul Aman sepulangnya dari Sungai Bikan. Almarhum diberitakan mengadu sakit dalam perut dan pernah mengalami kanser usus sekitar tahun 1996, namun tidak dapat dipastikan jika sakit kali ini ada kaitan dengan kanser yang dahulu.
Almarhum dikhabarkan sihat selepas menerima rawatan pada tahun tersebut dan bekerja seperti biasa sehingga peristiwa semalam.


Pengkebumian Almarhum disempurnakan lebih kurang pukul 11 pagi di Sedim oleh saudara-mara jauh dan dekat serta penduduk Kampung Sedim yang budiman. Turut hadir ialah Makchaq Salmah serta bondanya Ku Azmi binti Ku Abdul Hamid dan keluarga kita di Kg. Peregam, Kuala Kedah iaitu Ku Ahmad Shukri bin Ku Abdullah serta keluarga.




Almarhum berbaju hitam ketika berbual-bual selepas majlis perkahwinan sepupu kami Siti Aisyah , dan Muhammad Hazwan di Kg. Lobak, Mahang, Kedah DA pada 10 Februari 2013 M, 29 Rabi'ul Awal 1434 Hijrah


Yang di tengah-tengah ialah adik bongsu Almarhum iaitu Ku Jalaluddin, juga menetap di Sedim. 

Semoga Allah merahmati, memberkati dan meredhai Almarhum dan menempatkannya bersama roh para soliheen, ameen..