Koi belek-belek suratkabor maya Berita Harian sambil lewa..
menyampoh doh koi baca kes menteri besor di Perak tu.. dan propaganda kerajaan yang lain..Tiba-tiba sorotan hujung mata koi menangkap kepada tajuk seperti di bawah:Terowong air mentah Pahang-Selangor siap 2014
PUTRAJAYA: Kerja pembinaan terowong sepanjang 44.6 kilometer (KM)bernilai RM1.3 bilion untuk projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor yang akan bermula 1 Jun ini, dijangka siap 2014.
Pengarah Pasukan projek itu, Datuk Ir Ismail Mat Noor, berkata pembinaan terowong itu yang akan menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari adalah komponen pertama projek berkenaan dan paling kritikal kerana dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
"Pembinaan terowong itu akan bermula dari Karak, Pahang dan berakhir di Hulu Langat, Selangor.
"Ia akan dilaksanakan oleh konsortium empat syarikat, usaha sama antara IJM Corp Bhd, UEM Builders Bhd dan Shimizu Corporation, Nishimatsu Construction Co Ltd," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak projek pembinaan terowong itu, di sini hari ini.
Ia disaksikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui.
Ismail berkata, berikutan pelaksanaan projek itu, Selangor akan membayar kerajaan negeri Pahang sebanyak RM80 juta setahun.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
i) Lepeh ni boleh la koi naik Feri Muhibbah Pahang-Selangor, naik di Karak dan turun di Hulu Langat.. peluang pelancongan ni.. minyok pun jimat, tol tok kena bayor.. parking je kereta di Stesen Air & Marin Daerah Ulu Langat (SAMDUL)... bayor upoh jaga keta dua tiga hari..
ii) Pengusaha ikan patin di Temerloh, Bera, Jerantut dan Maran boleh la melabur bukok sangkor baru dalam Lebuhraya Salur Air Pahang-Selangor (LeSAPS)... peluang perikanan ni..
iii) Kerajaan boleh bina juga stesen-stesen janakuasa hidro sepanjang terowong, boleh juga salur tenaga yang tak pernah cukup ke lembah kelang, dijangka dinamakan Hidroelectric Aquaductus Energy Modulator Pahang-Selangor (HAEMPaS).. peluang penjanaan tenaga ni..
iv) Kerajaan Pahang juga boleh mewartakan kawasan-kawasan hijau sepanjang terowong air untuk penanaman sayur bagi mengurangkan kebergantungan kepada sayuran mahal dari Cameron Highlands, dengan projek yang dinamakan Green Ambient Modules For Agriculture & Natural Crops (GAMFANC).. peluang pertanian ni..
Tidak ada sebab mengapa koi mesti tidak menyokong projek ini. 
Selain dari membekalkan air yang cukup kepada negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai bilangan penduduk yang amat tinggi, kerajaan negeri juga mampu meraih pendapatan RM80 juta setahun.
Lepas ni Tok Nan tak payahlah lagi bising-bising kerajaan negeri tiada wang kerana perbelanjaan melebihi pendapatan dan geran persekutuan..
Lepas ni Tok Nan tak payahlah lagi bising-bising kerajaan negeri tiada wang kerana banyak kawasan hutan diwartakan sebagai hutan simpan dan tidak boleh ditebang untuk balak.
Tak perlulah lagi Tok Nan menuntut royalti minyak sawit dari kerajaan pusat dengan alasan kenapa Sabah dapat tapi Pahang tak dapat walhal hasil Pahang lebih tinggi.
Tak payahlah lagi Tok Nan pening nok cari duit bayor saman syarikat balak yang menuntut berjuta-juta dari Kerajaan Negeri.
Alah, Sungai Benus tu bukannya ada hasil apa pun, ikan pun tak berapa ada. Lebih baik kita jana duit dengan bekalkan air kepada Selangor. Alam sekitar tak ganggu pun, air tu berkurang sikit je dari ekosistem Negeri Pahang, Sungai Pahang kan luas dan lebar... mesti boleh serap punya kekurangan tu..
Sungai pahang tak lalu Bentong? Memangla Sungai Pahang tak lalu Bentong yang disaliri Sungai Benus tu.. alah kurang air sikit-sikit je.. mesti impaknya kurang kepada masyarakat..
Pahang sendiri pun tak cukup air??
Itu semua cerita rekaan.. persepsi rakyat je tu..
Kepada kerajaan Malaysia pula, teruskan pembangunan pesat di Lembah Kelang kerana negeri-negeri lain yang bersempadan memang amat bermurah hati untuk membantu. Perak boleh menyalurkan air Sungai Slim yang berdekatan dengan sempadan dan Negeri Sembilan pula mempunyai banyak sungai yang bersempadan dengan Daerah Sepang dan Hulu Langat di selatan negeri Selangor. Pendek kata jangan risaulah.. untuk kegemilangan 1Malaysia juga..
Secara tidak langsung ia menunjukkan kegemilangan 12 negeri yang lain juga..
Sungai Gombak dan Sungai Kelang tak perlulah dibersihkan kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi. Lebih murah membina terowong-terowong air dari negeri-negeri berjiran. Juga lebih murah daripada melabur untuk membina kesedaran sivik di kalangan rakyat yang suka membuang segala macam barangan dan bahan buangan ke dalam sungai-sungai tersebut..
Pernah penulis bersolat di sebuah masjid berdekatan Pekan Kajang dan melihat peti ais dan kipas elektrik dihanyutkan arus deras Sungai Langat. Amat sukar kita mengubah mentaliti rakyat kita. Biarkan sahajalah mereka begitu...
12 negeri lain juga tidak perlu dimajukan kerana kos memajukan negeri-negeri terlibat juga adalah amat tinggi. Biarlah penduduk-penduduk mereka berhijrah ke Lembah Kelang untuk mendapat peluang pekerjaan. Lagipun Malaysia mempunyai ramai tenaga kerja asing untuk bekerja di ladang-ladang sawit di Pahang, jadi isu peluang pekerjaan tak timbul di sini. Warga Malaysia bolehlah bekerja di kilang-kilang atau premis-premis perniagaan di sekitar Lembah Kelang kerana ia jauh lebih berprestij berbanding bekerja di ladang.
Isu kampung-kampung yang ditinggalkan juga tak perlu diperbesarkan kerana apabila sesuatu kampung itu telah benar-benar tiada penghuni, kerajaan boleh menutup sekolah-sekolah di kampung dan menumpukan tenaga kerja dan peralatan berkualiti di bandar. Kawasan-kawasan perindustrian baru boleh diwujudkan di tapak-tapak kampung tinggal dengan mengambil kawasan Iskandar di Johor sebagai contoh. Pelaburan asing dari Singapura atau Amerika Syarikat boleh ditarik untuk memiliki tanah dan melabur dalam kawasan-kawasan baru tersebut.
Kedaulatan terjejas??
Kita mesti positif, mereka hanya akan memiliki tanah-tanah tersebut tetapi pentadbiran kawasan masih di bawah Kerajaan Malaysia. Mereka masih perlu membayar cukai kepada kerajaan.
Seperti kes Pulau Batu Putih, inilah yang dinamakan "Win-win situation".
Janganlah terlalu negatif atas segala usaha kerajaan, minda pembangkang betullah kamu semua ni....